JPB sasar pelajar miskin ke IPT
KUALA
LUMPUR 9 Mac - Program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 (JPB 2017)
menyasarkan seramai 100,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara 2012 hingga
2016 yang sebelum ini tercicir akibat kemiskinan dan kurang
berkemampuan, mendapat peluang melanjutkan semula pelajaran ke institusi
pengajian tinggi (IPT).
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar)berkata,
program tersebut dijangka mengeluarkan kira-kira 50,000 surat tawaran
ke IPT kepada pelajar yang layak termasuk di universiti awam (UA) dan
institusi teknik dan vokasional.
Katanya,
program selama tiga bulan yang diadakan di 54 kawasan Parlimen di
seluruh negara itu adalah kesinambungan daripada kejayaan JBP 2016
yang telah memberi impak positif dalam membuka peluang kepada pelajar
bumiputera yang miskin dan kurang berkemampuan untuk melanjutkan
pelajaran.
“Peluang ini adalah untuk mereka yang gagal
memasuki universiti secara merit tetapi dikira berdasarkan pendapatan
ibu bapa dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40),” katanya
pada majlis prapelancaran JPB 2017 dan pelepasan konvoi JPB 2017 di
pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama, di sini hari ini.
Menurutnya,
bagi permohonan untuk ke institusi teknik dan vokasional pula, surat
tawaran boleh diberikan secara terus di program jelajah tersebut
berbanding permohonan ke universiti yang akan diberitahu kemudian.
“Fokus
kami adalah pelajar bumiputera yang miskin di luar bandar serta miskin
bandar yang berkelayakan. Ini kerana ramai yang tidak mendapat peluang
melalui Unit Pusat Universiti (UPU) dan ada juga terpaksa bekerja
dahulu kerana kemiskinan,” katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar